top of page
  • Norzaliza Zainon

Ketandusan Bekalan Bawang: Kebergantungan Malaysia Terhadap Import



Bawang adalah salah satu sayuran utama yang kerap digunakan dalam masakan rakyat Malaysia. Namun, kita sering menghadapi masalah kekurangan bekalan bawang disebabkan kebergantungan terhadap bekalan dari luar negara, khususnya, negara  India. Walau bagaimanapun negara tersebut sering berdepan dengan masalah bencana seperti banjir yang menenggelamkan kebanyakan kawasan pengeluaran utama bawang. Oleh itu, kerajaan India akan melaksana sekatan eksport bagi memenuhi keperluan domestik sebagaimana yang berlaku pada 8 Disember 2023 sehinggalah sekatan tersebut ditarik balik pada Mac 2024 yang lalu. Sekatan eksport ini memberikan implikasi yang besar terutamanya terhadap bekalan dan harga pasaran Malaysia dan antarabangsa.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penggunaan per kapita (PCC) bawang bagi penduduk Malaysia pada tahun 2022 adalah sekitar 14.8 kilogram setahun, iaitu bersamaan dengan 14.1 gram penggunaan sehari bagi setiap individu. Kebergantungan import (IDR) Malaysia bagi komoditi bawang masih berterusan pada kadar 100% pada tahun 2022. Pengimportan bawang meningkat 9% pada tahun 2022, dengan kuantiti sebanyak 485.1 ribu tan metrik bernilai nilai RM859.1 juta, berbanding tahun 2021. Malaysia telah mengimport bawang dari lima negara utama iaitu India (57.5%), Belanda (16.8%), China (10.2%), Pakistan (6.8%), dan Thailand (3.3%).


Malaysia's Onion Sources
Pengimport Utama Bawang ke Malaysia, 2022 (Sumber: KPKM, 2022)


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini telah mengambil langkah untuk memperkasakan industri bawang dalam negara setelah mengambil kira penggunaan bawang sebagai ramuan utama dalam kepelbagaian menu masakan di Malaysia. Memandangkan Malaysia mempunyai daya tarikan gastronomi yang unik, bawang dilihat sebagai komoditi strategik untuk dikomersialkan.

Program Pembangunan Tanaman Bawang telah dirangka dan dilaksanakan secara berfasa mulai 2024 hingga 2030. Program ini dijangka dapat membantu mengurangkan import bawang negara sebanyak 30 peratus. Ianya akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pra-komersial bermula 2024 hingga 2025 dan fasa komersial pada 2026 hingga 2030.

Langkah ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan kepada import bawang dan memperkukuhkan keterjaminan makanan negara. Dengan pelaksanaan program ini, industri bawang tempatan dijangka dapat berkembang dan memberikan manfaat ekonomi kepada negara serta memastikan bekalan bawang mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia.

27 lihatan0 komen

Comments


bottom of page