Majlis Penutupan i-CAM@MAHA 2026 Disempurnakan oleh Pengerusi FAMA
SERDANG, 2 September 2026 – International Conference on Agribusiness Marketing (i-CAM@MAHA 2026) berakhir dengan jayanya selepas dua hari menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik, penyelidik, pemain industri, usahawan serta pemegang taruh sektor agromakanan dalam perkongsian ilmu, pengalaman dan pandangan mengenai masa hadapan agribisnes dan keterjaminan makanan.
Majlis Penutupan i-CAM@MAHA 2026 yang berlangsung di Dewan B, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus, Pengerusi FAMA. Dalam ucapan penutupannya, beliau menegaskan bahawa transformasi sektor agribisnes bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan sektor agromakanan terus produktif, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing. Perubahan iklim, ketidaktentuan pasaran, peningkatan kos input, gangguan rantaian bekalan, perubahan corak permintaan pengguna serta perkembangan teknologi merupakan antara cabaran yang memerlukan sektor ini terus berubah dan menyesuaikan diri.

Berteraskan tema “Transforming Agribusiness in Addressing Food Insecurity: A Global Approach,” i-CAM@MAHA 2026 turut mengetengahkan kepentingan melihat keterjaminan makanan secara menyeluruh. Ia bukan sahaja berkaitan keupayaan menghasilkan makanan yang mencukupi, tetapi turut melibatkan sistem pemasaran dan pengedaran yang cekap bagi memastikan hasil pertanian sampai kepada pengguna pada masa yang tepat, pada harga yang berpatutan serta memberikan pulangan yang munasabah kepada pengeluar.
Sepanjang dua hari penganjuran, persidangan ini menampilkan pelbagai pengisian termasuk Keynote Address, pembentangan akademik, pembentangan industri, sesi podcast dan perbincangan panel, pembentangan poster serta aktiviti jaringan dan pameran. Kepelbagaian pengisian ini menyediakan ruang kepada peserta untuk berkongsi perspektif, pengalaman dan pendekatan dalam menangani cabaran semasa sektor agribisnes dan agromakanan.
Pengerusi FAMA turut menekankan bahawa nilai sebenar sesebuah persidangan bukan hanya terletak pada jumlah pembentangan atau perbincangan yang dilaksanakan, tetapi pada sejauh mana ilmu dan idea yang terhasil dapat diterjemahkan kepada tindakan selepas persidangan. Penyelidikan perlu membawa kepada inovasi dan teknologi yang boleh dimanfaatkan, seterusnya membantu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan memperkukuh kecekapan sektor.
Kerjasama antara sektor turut menjadi antara mesej penting dalam sesi penutupan. Kerajaan, industri, akademia, penyelidik dan usahawan mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem agromakanan. Sehubungan itu, jaringan yang terbentuk melalui i-CAM@MAHA 2026 diharapkan dapat diteruskan melalui perkongsian kepakaran, penyelidikan bersama, pembangunan teknologi, projek rintis, peluang pelaburan dan kerjasama pasaran.
Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan pemasaran agromakanan negara, FAMA akan terus memperkukuh hubungan antara pengeluar dan pasaran, memperluas akses pasaran serta meningkatkan keupayaan pemasaran usahawan. Pada masa yang sama, penggunaan teknologi, pendigitalan, data dan risikan pasaran akan terus dimanfaatkan bagi membantu pemain industri membuat keputusan yang lebih pantas, tepat dan berkesan.
i-CAM@MAHA 2026 juga dilihat sebagai platform yang menghubungkan ilmu, dasar dan industri, apabila hasil penyelidikan dapat dipertemukan dengan keperluan sebenar industri, pengalaman pemain industri membantu membentuk penyelidikan yang lebih relevan, manakala pembuat dasar memperoleh pandangan secara langsung daripada pelbagai pihak dalam ekosistem agromakanan.
Mengakhiri persidangan, Pengerusi FAMA berharap ilmu, idea dan jaringan yang terhasil sepanjang i-CAM@MAHA 2026 tidak terhenti selepas persidangan, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kolaborasi, inovasi dan penyelesaian berimpak. Kejayaan sebenar i-CAM akan dapat dilihat melalui kesinambungan jaringan, pembangunan idea serta penerapan penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat kepada industri dan pengusaha.
Dengan berakhirnya i-CAM@MAHA 2026, persidangan ini membawa satu aspirasi yang jelas, iaitu untuk meneruskan momentum daripada perkongsian ilmu kepada tindakan, memperkukuh kerjasama serta menjadikan inovasi dan jaringan strategik sebagai pemangkin kepada masa hadapan sektor agromakanan yang lebih moden, mampan dan berdaya tahan.







Komen