top of page

Podcast i-CAM@MAHA 2026: Transformasi Perniagaan Tani dalam Menangani Ketidakterjaminan Makanan

Unit Kerjasama Strategik dan Media
2 Okt
4 min membaca


SERDANG, 2 September 2026 – Transformasi sektor agribisnes memerlukan pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran makanan, malah merangkumi penggunaan teknologi dan automasi, pembangunan produk nilai tambah, pengukuhan rantaian bekalan serta kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta.


Perkara tersebut menjadi antara fokus utama Sesi Podcast i-CAM@MAHA 2026 bertemakan “Transformasi Perniagaan Tani dalam Menangani Ketidakterjaminan Makanan: Perspektif dan Pendekatan Global”, yang berlangsung bersempena International Conference on Agribusiness Marketing (i-CAM@MAHA 2026) di Dewan B, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS). Sesi podcast ini menampilkan YBhg. Dato’ Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM); Encik Azwan Arif, Pengarah Ayam Bismi Sdn. Bhd.; dan Encik Low Wei Han, Pengurus Cawangan Wilayah Utara, Green World Genetics (GWG). Perbincangan dikendalikan oleh Puan Wan Faizatul Aniza binti Ismayatim, Pengarah Kanan Bahagian Keusahawanan Pemasar, yang bertindak sebagai moderator.


Penganjuran sesi podcast memberi dimensi berbeza kepada i-CAM@MAHA 2026 dengan menyediakan platform perbincangan yang lebih interaktif dan santai untuk mengetengahkan isu semasa sektor agromakanan. Pendekatan ini membolehkan perspektif kerajaan dan pengalaman sebenar pemain industri diketengahkan dalam satu sesi, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian pandangan, cabaran serta penyelesaian yang boleh menyumbang kepada pembangunan sektor agribisnes.


Podcast juga berpotensi menjadi medium perkongsian ilmu yang berterusan dan tidak terhad kepada peserta persidangan. Melalui pendekatan yang lebih mudah diakses, isu strategik seperti keterjaminan makanan, transformasi digital, inovasi teknologi, kemampanan dan pembangunan rantaian nilai agromakanan dapat diketengahkan kepada khalayak yang lebih luas. Pada masa yang sama, platform ini dapat memperkukuh kolaborasi antara kerajaan, industri, akademia, penyelidik dan usahawan melalui perkongsian pengalaman, pengetahuan dan idea.


Daripada perspektif KPKM, keterjaminan makanan perlu dilihat secara menyeluruh dengan memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, selamat dan stabil, di samping memperkukuh industri serta keseluruhan rantaian bekalan makanan. Perubahan nama kementerian daripada Kementerian Pertanian kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, seterusnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dan kini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, turut mencerminkan perkembangan fokus sektor pertanian negara yang semakin luas, dengan aspek keterjaminan makanan diberikan perhatian yang lebih menyeluruh.


Dalam merancang keperluan negara bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, usaha meningkatkan pengeluaran perlu dilaksanakan secara konsisten dari tahun ke tahun. Tumpuan bukan sahaja perlu diberikan kepada peningkatan produktiviti di peringkat ladang, malah kepada peningkatan volum pengeluaran dan keupayaan industri di sepanjang rantaian nilai. Penggunaan teknologi dan automasi menjadi antara pemacu penting dalam usaha tersebut. Kemudahan seperti silo moden, sistem pemberian makanan ternakan secara automatik serta peningkatan keupayaan kilang pemprosesan berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran, kecekapan operasi dan kualiti produk.


Pada masa yang sama, transformasi sektor agribisnes perlu bergerak melangkaui pengeluaran komoditi asas. Pembangunan produk nilai tambah, pengukuhan industri halal serta penggunaan teknologi yang lebih meluas boleh meningkatkan nilai ekonomi hasil pertanian dan membuka peluang pasaran yang lebih besar.


Daripada perspektif industri ayam, Encik Azwan berkongsi perkembangan Ayam Bismi yang telah berkembang daripada perniagaan ayam kepada aktiviti penternakan, pemprosesan, pembangunan produk nilai tambah, rangkaian outlet serta pelbagai saluran pasaran. Menurut beliau, industri juga semakin berubah daripada pendekatan “produce and sell” kepada pendekatan yang lebih berorientasikan pengguna dan pasaran. Pengguna hari ini bukan sahaja melihat kepada harga, malah semakin memberi perhatian kepada aspek halal, keselamatan makanan, kualiti dan kemudahan.


Pada masa yang sama, pemain industri perlu berhadapan dengan peningkatan dan ketidaktentuan kos makanan ternakan, tenaga, logistik, tenaga kerja serta input import. Keadaan ini memerlukan industri meningkatkan produktiviti melalui automasi, penggunaan data, pengurangan pembaziran dan perancangan permintaan (demand forecasting) bagi membantu merancang pengeluaran dengan lebih tepat serta mengurangkan risiko lebihan atau kekurangan bekalan.


Encik Low pula mengetengahkan kepentingan pembangunan industri benih tempatan sebagai salah satu komponen penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara. Kebergantungan terhadap sumber benih import boleh mendedahkan sektor pertanian kepada risiko gangguan bekalan sekiranya berlaku krisis geopolitik, peperangan atau gangguan perdagangan antarabangsa.Perubahan iklim turut memberikan cabaran kepada pembangunan benih dan pengeluaran pertanian. Justeru, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu memberi perhatian kepada penghasilan varieti yang sesuai dengan keadaan agroiklim Malaysia, termasuk varieti yang mempunyai produktiviti tinggi, ketahanan terhadap penyakit serta toleransi terhadap tekanan haba dan lebihan air. Dalam jangka panjang, keupayaan menghasilkan benih berkualiti dalam negara bukan sahaja penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dan memenuhi permintaan domestik, malah berpotensi membuka peluang untuk Malaysia menghasilkan benih bagi pasaran global.


Memperkukuh Kerjasama untuk Masa Hadapan Agromakanan


Perbincangan turut menekankan kepentingan memperluas kerjasama awam-swasta atau Public-Private Partnership (PPP) dalam pembangunan sektor agromakanan. Kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dan sektor swasta boleh membantu mempercepat penggunaan teknologi, pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan inovasi serta pengkomersialan produk pertanian.


Transformasi sektor ini juga perlu bergerak seiring dengan usaha menarik lebih ramai generasi muda untuk terlibat dalam bidang pertanian dan agribisnes. Penggunaan automasi, mekanisasi, teknologi digital dan model perniagaan moden berpotensi menjadikan sektor pertanian lebih produktif dan menarik, di samping membuka peluang baharu dalam bidang kerjaya, keusahawanan dan inovasi.


Keseluruhannya, Sesi Podcast i-CAM@MAHA 2026 memperlihatkan bahawa keterjaminan makanan tidak boleh dilihat daripada aspek pengeluaran semata-mata. Ia memerlukan pengukuhan di setiap peringkat rantaian nilai; daripada benih dan input, ladang dan pengeluaran, pemprosesan dan teknologi, sehinggalah kepada pemasaran dan pengguna.

Melalui kesinambungan platform seperti podcast, i-CAM bukan sahaja dapat menjadi medan perkongsian ilmu, malah boleh menjadi ruang yang menghubungkan dasar, pengalaman industri dan inovasi serta mencetuskan perbincangan dan kerjasama baharu dalam membangunkan sektor agromakanan yang lebih produktif, moden, berdaya tahan dan berdaya saing pada masa hadapan.


 
 
 

Komen


bottom of page