top of page
  • Writer's pictureFadly Amri

Pengeluaran Durian di China, cabaran buat Malaysia?

China kini mula mengembangkan industri durian domestiknya, mencetus cabaran baru kepada pengeksport antarabangsa. Wilayah Hainan telah menghasilkan pengeluaran pertama sebanyak 50 metrik tan durian pada tahun 2023. Pengeluaran ini dijangka meningkat empat kali ganda pada tahun 2024, memberi isyarat akan perubahan dalam dinamik pasaran durian di China yang kini masih dikuasai oleh Thailand dan Malaysia.


Tidak dapat dinafikan bahawa Thailand merupakan pengeksport durian terbesar di dunia, yang kini menguasai 95.34% pasaran durian di China. Pada tahun 2023, Thailand telah mengeksport durian bernilai USD 4.6 bilion, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran, di samping, pengalaman dan infrastruktur memberikan kelebihan signifikan kepada negara tersebut untuk satu jangka masa yang panjang.



Malaysia tidak kurang hebatnya menyaingi Thailand bermula dengan pengeksportan durian ke China dalam bentuk ulas dan pes, diikuti dengan durian sejuk beku. Pada masa kini, sememangnya Hong Kong, Singapura, Indonesia dan Brunei merupakan destinasi utama eksport durian segar Malaysia dengan nilai pasaran berjumlah RM186 juta pada tahun 2023. Namun, Malaysia telah membuka lembaran baru pada 25 Ogos 2024 dengan kejayaan menembusi pasaran China bagi pengeksportan 40 metrik tan durian segar hasil persetujuan 2 hala antara Malaysia dan China.


Statistik 2022 merekodkan nilai pengeksportan durian ke China menyumbang sebanyak RM887 juta kepada ekonomi Malaysia. Perkembangan ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap durian premium keluaran negara sangat memberangsangkan dan mempunyai potensi yang tinggi untuk menguasai pasaran antarabangsa. Tambahan lagi, potensi pasaran China dengan anggaran nilai mencecah RM30 bilion memberi satu indikator bahawa masih banyak ruang dan peluang untuk Malaysia meningkatkan nilai perdagangan, khususnya, bagi varieti durian premium. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mensasarkan RM1.8 bilion pasaran durian segar di China dikuasai oleh Malaysia menjelang 2030.


Negara telah berada dalam landasan yang tepat dengan peningkatan berterusan dari segi kawalan kualiti, kecekapan logistik dan pengukuhan penjenamaan varieti durian Malaysia. Usaha kerajaan telah menawarkan peluang yang besar buat pengusaha durian tempatan untuk menjadikan industri ini sebagai “Sumber Kekayaan Baharu Malaysia”.




42 lihatan0 komen

Comments


bottom of page