DARI BUNGA KE BUAH: PERJALANAN 5 BULAN DURIAN SEBELUM SAMPAI KE TANGAN ANDA
- Unit Data Primer
- 30 Jul
- 2 min membaca

Sebut sahaja raja buah sudah pastinya ramai mengenali varieti durian yang popular dan menjadi pilihan pengguna adalah seperti Kampung, Bukit Merah (D24), Buluh Bawah / Tekka (D160), Hjh Hasmah / IOI (D168), Udang Merah (D175), Raja Kunyit / Musang King (D197) dan Ochee / Duri Hitam (D200). Durian sentiasa mendapat sambutan yang tinggi, namun tidak ramai yang sedar bahawa sebelum seulas durian itu sampai ke tangan anda, pokok durian telah melalui satu perjalanan panjang yang memakan masa hampir 5 bulan penuh, bermula dari satu tompokan kecil yang dipanggil "Mata Ketam" sehinggalah kepada buah yang matang sempurnanamun adakah anda tahu proses fasa pengeluaran atau kejadian buah durian.
FASA 1: MATA KETAM
Dimana fasa pengeluaran ini bermula daripada satu bintik kecil yang muncul di dahan pokok, yang secara tradisinya digelar sebagai fasa mata ketam. Pada peringkat ini, bunga durian kelihatan seperti benih kecil yang menonjol keluar dari kulit pokok yang seakan menyerupai mata ketam. Peringkat ini berlangsung selama 15 hingga 20 hari sebelum ia beralih ke fasa kudup bunga.
FASA 2: KUDUP BUNGA
Mata ketam kemudiannya berkembang menjadi Kudup Bunga. Struktur bunga mula terbentuk dengan lebih jelas namun ia masih tertutup rapat dan belum sepenuhnya mekar. Peringkat ini adalah fasa pembentukan, di mana bunga mula membina dirinya untuk persediaan mekar sepenuhnya. Pokok durian pada peringkat ini masih memerlukan pemantauan kerana kualiti kudup bunga akan mempengaruhi kejayaan proses pendebungaan seterusnya.
FASA 3: BUNGA KEMBANG
Dalam dunia sains, fasa ini dipanggil Anthesis di mana bunga akan kembang dan mekar sepenuhnya. Inilah waktu yang paling kritikal kerana proses pendebungaan atau polinasi perlu berlaku dengan berjaya bagi menentukan sama ada bunga tersebut akan menjadi putik buah atau gugur ke tanah dan tiada buah yang akan terhasil.
FASA 4: PUTIK BUAH
Selepas proses pendebungaan berjaya, putik buah mula terbentuk sekitar hari ke-65. Fasa ini adalah fasa yang paling sensitif dalam keseluruhan kitaran. Kekurangan air dalam tanah pada peringkat ini akan menyebabkan keguguran putik buah secara besar-besaran. Oleh itu, fasa ini merupakan waktu yang paling sesuai untuk pemberian baja bagi menyokong pembesaran buah kepada sebesar bola tenis,
FASA 5: BUAH KECIL
Putik buah yang berjaya melepasi fasa sensitif akan membesar menjadi buah durian bersaiz bola takraw. Di sini, pembajaan susulan perlu diulang bagi memastikan buah mempunyai nutrisi yang cukup untuk membesar dengan sempurna.
FASA 6: BUAH BESAR
Buah durian memasuki peringkat pembesaran akhir. Pada waktu ini, fizikal buah sudah kelihatan jelas dengan tangkai yang semakin menebal untuk menampung berat buah yang semakin meningkat.
FASA 7: BUAH MATANG
Durian dianggap mencapai tahap kematangan yang sempurna apabila durinya mula merenggang, alur karkel (duri) pada kulit kelihatan jelas, warna kulit berubah mengikut identiti varietinya sama ada hijau kekuningan atau coklat muda dan mula gugur.
Kitaran hampir 5 bulan ini menjelaskan mengapa harga durian boleh berubah-ubah mengikut musim dan keadaan cuaca. Setiap fasa membawa risiko tersendiri — daripada kegagalan pendebungaan, gugurnya putik, sehinggalah kepada gangguan cuaca semasa pembesaran buah. Apabila anda menikmati seulas durian yang lemak dan wangi, ingatlah bahawa ia adalah hasil kerja keras petani dan perjalanan biologi yang panjang, sabar, dan penuh cabaran.







Komen