top of page

HARGA KELAPA TUA MENINGKAT! APA PUNCANYA??

  • Unit Pengumpulan Maklumat dan Analitik
  • 7 Mac
  • 2 min membaca

Updated: 19 Mac



Situasi Semasa Pasaran Kelapa Tua di Malaysia

Kelapa merupakan salah satu komoditi penting dalam sektor agromakanan Malaysia, terutamanya bagi industri makanan dan ketika sambutan perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Thaipusam. Namun, trend harga kelapa tua menunjukkan peningkatan yang agak ketara sejak Oktober tahun lalu akibat beberapa faktor utama yang memberi kesan kepada perbekalan dan permintaan di pasaran.


Penurunan Pengeluaran Tempatan Akibat “Musim Melawas”

Salah satu punca utama kenaikan harga kelapa adalah disebabkan kemerosotan pengeluaran tempatan melebihi 50% sejak Oktober 2024. Fenomena yang jarang-jarang berlaku ini disebabkan oleh kawasan-kawasan penanaman utama mengalami “Musim Melawas”, iaitu sesuatu fasa atau tempoh di mana pokok kelapa menghasilkan buah dalam jumlah yang lebih sedikit berbanding biasa. Dalam bahasa mudahnya, inilah masanya pokok kelapa nak “rehat” sikit. Akibatnya, bekalan kelapa di pasaran lebih terhad, sekali gus mendorong peningkatan harga di semua peringkat, termasuk harga ladang, borong dan runcit.


Kesan Perubahan Iklim Terhadap Bekalan Kelapa

Perubahan iklim turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pengeluaran kelapa. Cuaca yang tidak menentu sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan hasil per tandan lebih rendah. Hujan lebat yang berterusan atau musim kemarau yang panjang boleh menjejaskan pertumbuhan buah kelapa, sekali gus mengurangkan jumlah bekalan di pasaran tempatan.


Kebergantungan kepada Import dan Pengaruh Pasaran Global

Walaupun Malaysia merupakan pengeluar kelapa, negara kita masih bergantung kepada kelapa yang diimport terutamanya dari Indonesia bagi menampung keperluan pasaran domestik. Namun, permintaan tinggi di Indonesia turut menyebabkan harga kelapa import meningkat, dan pada masa yang sama, ianya memberi kesan kepada harga pasaran di Malaysia.


Keadaan ini semakin merumitkan apabila harga kelapa yang diimport dan dibawa masuk dari Indonesia tidak menentu dan semakin mahal. Akibatnya, kos membawa masuk kelapa ke Malaysia menjadi lebih tinggi serta menyebabkan kenaikan harga di peringkat borong dan runcit.


Permintaan Tinggi Menjelang Musim Perayaan

Selain faktor bekalan, permintaan kelapa turut meningkat semasa sambutan Thaipusam yang lalu. Penggunaan kelapa dalam pelbagai upacara keagamaan serta masakan tradisional menyumbang kepada peningkatan permintaan. Tambahan pula, permintaan dijangka akan terus meningkat dan membimbangkan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Syawal, di mana, kelapa merupakan bahan utama dalam kebanyakan juadah berbuka puasa dan kuih-muih raya.


Bekalan yang terhad dan permintaan yang tinggi inilah yang menyebabkan ketidak seimbangan berlaku, di samping, memberi kesan kepada peningkatan harga kelapa tua di setiap peringkat pemasaran. Pada Februari 2025, harga tertinggi yang direkodkan di peringkat runcit adalah RM3.55/biji.


Berapa agaknya harga bagi bulan Mac 2025?

Berdasarkan analisis semasa, harga runcit kelapa tua bersaiz sedang dijangka antara RM3.10/biji - RM3.30/biji pada bulan Mac 2025. Selagi bekalan kelapa tempatan mahupun global tidak kembali pulih, ditekan lagi dengan permintaan yang tinggi, pengguna dijangka akan terus berdepan dengan kenaikan harga kelapa dalam tempoh terdekat.


Apa yang boleh kita buat??

Krisis kelapa sekarang telah memberi kita satu pengajaran penting iaitu jangan ambil ringan tentang bekalan makanan asas kita. Kelapa bukan sekadar buah yang bulat untuk dimasak tetapi ia sebahagian daripada identiti Malaysia yang kita sayang. Cuba bayangkan Malaysia tiada kelapa, apa rasa nasi lemak, kari, dodol, rendang dan lemang tanpa santan? Atau kuih-muih tradisional seperti onde-onde tanpa kelapa parut? Memang tak lengkap.


Mungkin dah sampai masa untuk kita semua ambil serius tentang pertanian tempatan. Pelbagai inisiatif dan insentif kerajaan telah usahakan dan akhirnya ia akan berbalik kepada peranan semua pihak untuk sama-sama lakukan sesuatu.

 

Adakah harga akan terus meningkat atau kembali stabil selepas musim perayaan? Sama-sama kita nantikan!

Comentarios

No se pudieron cargar los comentarios
Parece que hubo un problema técnico. Intenta volver a conectarte o actualiza la página.
bottom of page