Harga Tomato Dijangka Kekal Tinggi Sehingga Hujung Februari 2025
- Unit Pengumpulan Maklumat dan Analitik
- 13 Feb
- 1 min membaca
Updated: 24 Mac

Permulaan bagi tahun 2025, Tomato Tanah Tinggi di peringkat runcit menunjukkan trend kenaikan harga sama seperti 3 tahun sebelum ini. Trend kenaikan harga ini berlaku pada setiap awal tahun bermula Januari hingga Februari, dan mula merekodkan penurunan harga apabila memasuki bulan Mac.
Kenaikan harga bagi Tomato Tanah Tinggi ini dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya adalah faktor penutupan kebanyakan ladang di kawasan pengeluaran utama di sekitar Tanah Tinggi Cameron. Kebiasaannya ladang tidak akan beroperasi beberapa hari sebelum dan selepas perayaan Tahun Baru Cina. Justeru, aktviti penuaian dilakukan serentak oleh kebanyakan ladang sebelum cuti perayaan Tahun Baru Cina.
Selain itu, fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang telah melanda Malaysia sejak awal November 2024 dan dijangka akan berterusan sehingga Mac 2025 juga merupakan faktor utama kenaikan harga bagi komoditi ini. Penerimaan taburan hujan yang tinggi serta berangin telah mendorong kepada penurunan suhu yang rendah di kawasan pengeluaran. Cuaca yang berangin menyebabkan putik bunga gugur dan taburan hujan yang tinggi memperlahankan proses kematangan buah akibat kekurangan penerimaan cahaya matahari. Ini menyebabkan pengeluaran tomato terjejas dan memberi kesan terhadap bekalan di pasaran.
Dijangkakan harga tomato akan kekal tinggi melebihi paras harga kebiasaan iaitu sekitar RM5.00/Kg – RM6.00/Kg di peringkat ladang pada Februari ini berikutan musim perayaan Tahun Baru Cina. Bekalan di peringkat borong dan runcit juga akan turut terkesan dengan keadaan ini. Harga tomato yang diujurkan di peringkat borong berada antara RM6.30/Kg – RM7.40/Kg, manakala harga tomato di peringkat runcit sekitar RM7.50/Kg – RM9.50/Kg. Situasi ini akan berlarutan sehingga penghujung Februari dan dijangka trend harga hanya akan mula mengalami penurunan sekitar Mac 2025.
Comments