Monsun Timur Laut (MTL): Apa Berlaku Pada Harga Sayur Daun?
- Unit Pengumpulan Maklumat dan Analitik
- 10false40 GMT+0000 (Coordinated Universal Time)
- 2 min membaca

Fenomena Monsun Timur Laut (MTL) saban tahun membawa satu kesan yang cukup ketara kepada rantaian bekalan makanan negara, terutamanya bagi kategori sayur-sayuran. Menjelang penghujung tahun, corak hujan berpanjangan yang dapat mengubah landskap pengeluaran di ladang, lalu memacu perubahan harga di setiap peringkat pemasaran.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kita dijangkakan akan berdepan MTL yang membawa hujan berterusan serta keadaan lembap di kebanyakan negeri terutamanya di negeri Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah. MTL dijangka bermula pada pertengahan November 2025 dan akan berterusan sehingga Mac 2026. Dalam tempoh ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka akan berlaku, terutama di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Hujan yang berpanjangan bukan sahaja meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah, malah turut menjejaskan hasil tanaman sayur yang bergantung pada keadaan tanah yang kering dan stabil. Sayuran berdaun seperti Sawi Hijau, Kangkung dan Bayam mempunyai struktur yang lembut dan sangat sensitif kepada air yang berlebihan. Dalam keadaan hujan tidak berhenti, kawasan tanaman menjadi terlalu basah, menggalakkan risiko akar reput, pertumbuhan terbantut dan mudah diserang penyakit kulat. Kerosakan ini secara langsung mengurangkan jumlah hasil yang boleh dituai.
Bila pengeluaran mula merosot, bekalan dari ladang turut berkurang, sekali gus menekan harga pasaran. Ramai petani mengambil langkah mengecilkan keluasan tanaman atau beralih kepada tanaman yang lebih tahan lembap bagi mengurangkan risiko kerugian. Akibatnya, bekalan tidak sekata, terutamanya bagi kawasan yang paling bergantung kepada cuaca terjamin. Trend kenaikan harga ini boleh dilihat dengan jelas dalam pola data harga bagi Sawi, Bayam dan Kangkung, di mana puncak harga sering muncul pada hujung tahun sepanjang tempoh MTL.
Selain itu, faktor kawasan terjejas turut memainkan peranan besar. Negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu lazimnya menerima impak paling awal, seawal November, manakala hujan berterusan boleh berlanjutan hingga Januari di negeri lain seperti Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. Gangguan logistik, jalan dinaiki air dan kelewatan penghantaran turut menyumbang kepada kenaikan kos, sekali gus mempengaruhi harga di pasaran.
Secara keseluruhannya, MTL bukan sekadar fenomena cuaca. Ia adalah satu rangkaian kesan yang bermula di peringkat ladang, meresap ke rantaian bekalan, dan akhirnya memberi impak kepada harga yang dibayar oleh pengguna. Pemahaman awal terhadap corak ini penting untuk perancangan pengeluaran, pengurusan stok serta jangkaan harga di musim hujung tahun. Kenaikan harga sayur berdaun setiap hujung tahun dapat dilihat pada trend harga yang dilampirkan, bukan sesuatu yang luar biasa. Ia merupakan kesan langsung daripada Monsun Timur Laut yang menyebabkan keadaan cuaca lembap yang berpanjangan di negara ini.










Komen