top of page

TKPM SKC Slim River, Perak: Hab Pertanian Dinamik Muallim

  • Unit Kajian Pasaran
  • 2 hari lalu
  • 2 min membaca

Di tengah-tengah daerah Muallim, Perak, terletak sebuah kawasan pertanian yang menjadi nadi kepada sektor agromakanan tempatan – Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) SKC Slim River. Kawasan ini bukan sekadar pusat penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran secara komersial, malah ia adalah simbol transformasi ekonomi daripada sejarah perlombongan kepada industri pertanian moden yang berdaya maju.

Nama SKC berasal daripada Southern Kinta Consolidated Limited, sebuah syarikat perlombongan yang dahulunya menguasai kawasan ini. Selepas aktiviti perlombongan berakhir, kawasan tersebut mengalami perubahan landskap ekonomi dan pada tahun 2004, TKPM SKC ditubuhkan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memperkukuh jaminan bekalan makanan negara. Kini, dengan keluasan fizikal 546.33 hektar, di mana 518.81 hektar telah dimajukan, TKPM ini menjadi hab utama dalam sektor pertanian di Muallim.

TKPM SKC memainkan peranan penting dalam aktiviti pertanian Perak khususnya, menyumbang 42.51% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran tanaman agromakanan segar di daerah Muallim. Antara kejayaan paling menonjol TKPM ini ialah penanaman jambu batu, yang mencatatkan pengeluaran sebanyak 165,000 kg pada tahun 2024. Keunikan jambu batu ini terletak pada saiznya yang besar, teksturnya yang rangup, serta rasa yang manis, menjadikannya antara produk pertanian premium yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negeri. Selain jambu batu, TKPM SKC juga mengeluarkan pelbagai hasil pertanian lain, termasuk Sayur-sayuran berdaun seperti kangkung, sawi, dan bayam sertaBuah-buahan seperti pisang dan betik.


Infografik Kuantiti Pengeluaran Agromakanan Segar di TKPM SKC
Infografik Kuantiti Pengeluaran Agromakanan Segar di TKPM SKC

76% hasil pertanian Muallim dipasarkan melalui pemborong, dengan majoriti dihantar ke Selangor (79.5%) dan Kuala Lumpur (10.5%) menjadikan dua lokasi ini sebagai destinasi utama produk TKPM SKC. Namun, kebergantungan tinggi kepada pemborong dan pasaran luar meningkatkan risiko ekonomi, terutama ketika berlaku gangguan bekalan atau perubahan mendadak dalam permintaan. Sebagai contoh, ketika pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020, ramai petani termasuk peserta TKPM tersebut mengalami kerugian besar akibat sekatan pergerakan, memaksa kerajaan menyalurkan bantuan sebanyak RM624,035 kepada usahawan tani di Muallim dan Batang Padang bagi menampung kos tanaman semula (Sumber: Sinar Harian)

Bagi mengurangkan risiko ini, strategi pemasaran perlu diperluaskan dengan:

      i.    Meningkatkan jualan langsung kepada pengguna melalui platform e-dagang dan pasar tani.

     ii.   Meneroka pasaran alternatif, termasuk eksport ke negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

    iii.  Memperkukuh rangkaian logistik tempatan agar bekalan makanan tidak bergantung sepenuhnya kepada perantara seperti pemborong.

Secara keseluruhan, TKPM SKC Slim River bukan sekadar Taman Kekal Pengeluaran Makanan biasa, tetapi merupakan model kejayaan industri agro makanan yang berpotensi menjadi perintis kepada pembangunan sektor pertanian negara. Dengan perancangan yang strategik dan sokongan yang berterusan, TKPM ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar, meningkatkan daya saing petani tempatan, serta menjamin bekalan makanan negara untuk generasi akan datang.

Komen


bottom of page